Friday, August 7, 2009

SATU DETIK ITU

satu detik itu

tak sama yang baru berlalu
umpama bayu

satu detik itu
yang sebelumnya
dingin seperti salju
beku...

berundur bererti kalah
melangkah bererti pasrah
detik itu
bagai riak air di kolam
di lontar...
berkocak...
berombak...

satu detik itu
emas dan kaca
manakan serasa
walau di derai
manakan sama
dengan...
satu detik itu


Nukilan: Juliana Mokhtar

MENCARI SINAR HIDUP

Mencari sinar hidup yang cemerlang,
Dengan dugaan,
Jalan yang bercabang-cabang,
Perlukan Al-quran untuk panduan,
Sunnah Nabi dipraktikkan,
Guru-guru untuk bimbingan,
Teman-teman untuk luahan,
Lalui seorang diri bukan mudah bagai disangka,
Kelak tersungkur ke lembah durjana.
Pengalaman yang ada,
Dijadikan sumber rujukan yang amat berharga,
Untuk mencari jalan,
Yang terbaik menuju cita-cita.
Bukan wang ringgit yang dipinta,
Cuma padangan,
Tunjuk ajar dan nasihat,
Buat merobohkan tembok kebuntuan yang menghalang.
Walau apapun yang terjadi ,
Tidak ada istilah putus asa,
Kerna kita punya DIA.

Nukilan:
Saiful LMZ

Monday, July 20, 2009

Cinta...

Cinta terlalu kompleks untuk ditafsirkan melalui kata-kata. Tetapi perasaan mampu mentafsirkan satu-satunya kalimah keramat ini. Terkadang perasaan ini memberikan penderitaan yang begitu melukakan, tetapi perasaan ini jugalah yang mampu memberikan kekuatan kepada insan. Dan yang pasti cinta akan terus memberi tanpa henti.

Cinta pertama berputik di hati Rasulullah s.a.w terhadap Saidatina Khadijah menjelaskan cinta sememangnya tidak berhenti memberi. Rasulullah dilamar Khadijah ketika mana baginda menjadi duta dagangannya ketika di usia mudanya. Sekalipun perbezaan usia mungkin menjadi nilaian oleh sebahagian mata, namun Rasulullah s.a.w mencintai Khadijah ikhlas hanya kerana Allah.

Oleh kerana cinta yang mendalam, pemergian isteri baginda Khadijah begitu memberikan kesan pada kehidupan baginda. Kesedihan sering bersama baginda sehinggakan isteri-isteri baginda yang lain cemburu melihat dalamnya cinta Rasulullah terhadap Khadijah.

Tetapi perasaan cinta akan terus memberi kasih sayang yang terbaik sekalipun Khadijah sudah tiada. Kerana terkenangkan Khadijah, Rasulullah selalu mengasihi anak-anak yatim dan selalu memberikan sedekah kepada anak-anak yatim untuk menyatakan kerinduan baginda kepada Khadijah.

Mungkin juga anda memahami cinta Rabiatul Adawiah yang agung. Kerinduan bertemu Allah SWT menjadikan dirinya memberikan sepenuh rasa cintanya di hamparan sejadah. Sehinggakan beliau sanggup mengetepikan keindahan dunia, dan memberikan cinta sucinya hanya untuk Allah. Cinta sejati tidak akan putus memberikan yang terbaik untuk yang dicintainya. Terpulanglah kepada siapa yang dicintainya.

Sunday, July 19, 2009

Teman.,

Teman..
Sudah semakin jauh kita lewati maya ini
tanyalah pada diri
apakah amalan akhirat kita
sama jauhnya dengan perjalanan ini
banyakkah bekalan kita
untuk dipersembahkan kepada Allah?

Teman...
Ketahuilah bahwa kita
semakin hampir pada noktah kehidupan
senja pasti berlabuh
malam tentu membuka pelabuhannya
esok pagi datang mengikut ketentuan-Nya
begitulah sunnatullah
yang diatur oleh Yang Maha Kuasa
bersediakah kita menempuh
malam yang gelap pekat
tanpa sepalit cahaya buat panduan
tiada jua simpati dari sesiapa
melainkan amalan solehmu...

Teman...
Sedarlah bahawa kita
pasti pergi jua dari sini
meninggalkan semua yang menjadi kesayangan
membakar tiap kerinduan dan kasih sayang
pertemuan selalu menjanjikan perpisahan
hidup kita adalah untuk mati
dan mati itu datang dengan tiba - tiba
tanpa menanti sesiapa
tanpa diberitahu bila dan di mana
tanpa mengira miskin atau kaya
tanpa jua mengenal tua mahu pun muda

Teman...
Segeralah!!
nyalakan iman di dada
kumpulkan amalan buat penyelamat
tegakkan ibadah penuh sungguhan
jangan cuba menghitung pahala
bilanglah dosa yang dilakukan
bersama sisa - sisa usia yang ada
dan sambutlah ''Sakaratulmaut"
dengan sekuntum senyum dan ketenangan
di sana ada nikmat yang menunggu....
InsyaAllah...

Sunday, May 17, 2009

Cinta Lewat Usia

Benarkah usia mempengaruhi hasrat cinta seseorang?

DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.

Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.

Usia 30-an

Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.

Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.

* Tentukan batas waktu

Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.

Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.

Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.

Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.

* Fleksibel

Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.

Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.

Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.

Usia 40-an

Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.

* Perbaiki keterampilan bercinta

Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.

Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.

* Elak bercinta selepas cerai

Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.

Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:

Adakah anda menganggap semua lelaki tidak guna?

Atau adakah semua wanita materialistik?

Adakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?

Adakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?

Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.

* Hati-hati dengan buah hati

Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.

Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul. - NOOR HASLIZA NUSI (KOSMO)

Manusia

Manusia dibekalkan dua mata,
tetapi hanya dengan satu mulut
supaya dia dapat melihat dua kali
lebih banyak daripada berbicara

Siapa yang banyak bicaranya
akan banyak pula celaannya

Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat
Tak guna ada hati kalau tak tahu menilai.......

Janganlah menjadi begitu masin..
sehingga orang meludahmu..
Dan janganlah pula berlaku terlampau manis,
sehingga mereka menelan dirimu begitu saja...

Thursday, May 7, 2009

Geramnya.......

Biar setenang mana pun our heart, there still ada ombaknya... entahlah... Aku pasrah... siapa yang menyampaikannya, terserah. Tapi hati ini tetap sakit bila memikirkannya... Siapalah antara teman-temanku yang talam dua muka... sepuluh muka tu... Tapi sebagai kaum hawa yg sejenis dgnku... takkan semua citer kita share nak citer kat dia... Bagai nak luruh jantung ku bila dia seolah-olah tahu apa yang kita bercerita tentangnya... walaupun sepatah kata yang dikeluarkan tapi aku rasa dia tahu kesemuanya, masakan pokok tak bergoyang kalau beruk tak bergayut di atasnya... Malas aku nak layan kerenahnya... Sakit hati membuak-buak... jiwa punah... Kalau aku tahulah sape temanku itu yang talam 10 muka... memang tak senang dia dunia dan akhirat... Tak baik kan! Tapi apasal dia sibuk sgt nak citer kat dia... Dia ni side sape ni? Aku ke dia! Dia tu baguih sgt ke? Sampai suma nak citer kat dia.... Bukannya nak elokkan keadaan... menambahkan keruh lagi di air yang sememangnya dah keruh... Geramnya....