Monday, July 20, 2009

Cinta...

Cinta terlalu kompleks untuk ditafsirkan melalui kata-kata. Tetapi perasaan mampu mentafsirkan satu-satunya kalimah keramat ini. Terkadang perasaan ini memberikan penderitaan yang begitu melukakan, tetapi perasaan ini jugalah yang mampu memberikan kekuatan kepada insan. Dan yang pasti cinta akan terus memberi tanpa henti.

Cinta pertama berputik di hati Rasulullah s.a.w terhadap Saidatina Khadijah menjelaskan cinta sememangnya tidak berhenti memberi. Rasulullah dilamar Khadijah ketika mana baginda menjadi duta dagangannya ketika di usia mudanya. Sekalipun perbezaan usia mungkin menjadi nilaian oleh sebahagian mata, namun Rasulullah s.a.w mencintai Khadijah ikhlas hanya kerana Allah.

Oleh kerana cinta yang mendalam, pemergian isteri baginda Khadijah begitu memberikan kesan pada kehidupan baginda. Kesedihan sering bersama baginda sehinggakan isteri-isteri baginda yang lain cemburu melihat dalamnya cinta Rasulullah terhadap Khadijah.

Tetapi perasaan cinta akan terus memberi kasih sayang yang terbaik sekalipun Khadijah sudah tiada. Kerana terkenangkan Khadijah, Rasulullah selalu mengasihi anak-anak yatim dan selalu memberikan sedekah kepada anak-anak yatim untuk menyatakan kerinduan baginda kepada Khadijah.

Mungkin juga anda memahami cinta Rabiatul Adawiah yang agung. Kerinduan bertemu Allah SWT menjadikan dirinya memberikan sepenuh rasa cintanya di hamparan sejadah. Sehinggakan beliau sanggup mengetepikan keindahan dunia, dan memberikan cinta sucinya hanya untuk Allah. Cinta sejati tidak akan putus memberikan yang terbaik untuk yang dicintainya. Terpulanglah kepada siapa yang dicintainya.

Sunday, July 19, 2009

Teman.,

Teman..
Sudah semakin jauh kita lewati maya ini
tanyalah pada diri
apakah amalan akhirat kita
sama jauhnya dengan perjalanan ini
banyakkah bekalan kita
untuk dipersembahkan kepada Allah?

Teman...
Ketahuilah bahwa kita
semakin hampir pada noktah kehidupan
senja pasti berlabuh
malam tentu membuka pelabuhannya
esok pagi datang mengikut ketentuan-Nya
begitulah sunnatullah
yang diatur oleh Yang Maha Kuasa
bersediakah kita menempuh
malam yang gelap pekat
tanpa sepalit cahaya buat panduan
tiada jua simpati dari sesiapa
melainkan amalan solehmu...

Teman...
Sedarlah bahawa kita
pasti pergi jua dari sini
meninggalkan semua yang menjadi kesayangan
membakar tiap kerinduan dan kasih sayang
pertemuan selalu menjanjikan perpisahan
hidup kita adalah untuk mati
dan mati itu datang dengan tiba - tiba
tanpa menanti sesiapa
tanpa diberitahu bila dan di mana
tanpa mengira miskin atau kaya
tanpa jua mengenal tua mahu pun muda

Teman...
Segeralah!!
nyalakan iman di dada
kumpulkan amalan buat penyelamat
tegakkan ibadah penuh sungguhan
jangan cuba menghitung pahala
bilanglah dosa yang dilakukan
bersama sisa - sisa usia yang ada
dan sambutlah ''Sakaratulmaut"
dengan sekuntum senyum dan ketenangan
di sana ada nikmat yang menunggu....
InsyaAllah...